Oleh Nur Natasha Aida Ismail
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Penumpang perlu sentiasa peka dan bijak menjaga keselamatan ketika memilih teksi yang dinaiki, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin.
Beliau berkata mereka tidak sepatutnya menghukum pemandu teksi dengan tidak menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu ekoran kejadian seorang pelancong wanita warga Amerika Syarikat disamun, dikurung dan dipercayai dirogol bergilir-gilir selepas menaiki sebuah teksi di Mutiara Damansara, Petaling Jaya Isnin lepas.
Katanya, pengguna teksi juga boleh memastikan tahap keselamatan mereka berdasarkan keadaan fizikal sesebuah teksi yang ingin dinaiki.
"Sebagai contoh, kalau teksi bercermin gelap, sebaiknya elakkan, kerana jika berlaku kejadian tidak diingini, sudah pasti orang luar tidak dapat melihat apa yang berlaku di dalam teksi tersebut," katanya kepada Bernama Sabtu.
Bakri berkata selain itu, pengguna harus mengelak menaiki teksi yang sudah mempunyai penumpang.
"Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut, dan polis Selangor telahpun menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes itu dari pelbagai aspek, dan akan menjejaki mereka yang terlibat," katanya.
Bakri berkata persatuan pemandu teksi juga perlu menyalur maklumat berkaitan kehadiran pemandu yang mencurigakan serta bukan di kalangan anggota berdaftar persatuan kepada polis.
"Dalam isu ini, mereka (pemandu) tidak boleh mengeluh sahaja sebaliknya mereka perlu memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia Syahrir Abdul Aziz menasihati orang ramai supaya berhati-hati memilih teksi dengan memastikan ia memaparkan kad pemandu dan nombor pendaftaran kenderaan.
Sebelum ini, laporan media mendedahkan sejumlah 13 kes membabitkan pemandu teksi dilapor berlaku sejak Januari lepas, dan modus operandi penjenayah adalah menyewa teksi serta berpura-pura mengambil penumpang sebelum menyamun atau menculik mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah mengesahkan lima pemandu teksi ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun serta culik penumpang di sekitar ibu negara dan polis mengenal pasti tiga kumpulan yang aktif melakukan jenayah itu sejak enam bulan lepas dengan menyasar penumpang wanita yang menaiki teksi bersendirian sebagai mangsa.
-- BERNAMA
No comments: