KOTA KINABALU: Berjalanlah sejauh 3 kilometer sehari dalam misi untuk mencapai sasaran berjalan sejauh 10 ribu langkah sehari, kata Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.
Yeo berkata Program 10 Ribu Langkah yang telah mula dilaksanakan secara peringkat nasional sejak tahun lepas kini diperhebatkan ke setiap negeri dan kawasan dalam mempromosikan peningkatan kesedaran tentang kesihatan.
“Tidak kira anda berada dimana, sama ada di pejabat dan lain-lain, ambil dan luangkan sedikit masa untuk berjalan dalam sekitar 3 kilometer atau sejauh itu kerana ia akan mencapai misi iaitu langkah sebanyak 10 ribu,” katanya.
Katanya, program tersebut untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjadikan senaman berjalan kaki sebagai salah satu rutin harian mereka.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bandaraya Kota Kinabalu berkata demikian pada Program 10 Ribu Langkah Kawasan Luyang Anjuran PEMADAM Bandaraya KK di Dewan Damai, Luyang , kelmarin.
Tambah beliau, program seumpama ini melibatkan segenap lapisan masyarakat dan daripada pelbagai peringkat umur.
“Program seperti ini adalah sangat baik kerana ia bukan sahaja mempromosikan kesihatan dikalangan kita sebaliknya ia turut mempromosikan kesabaran pada masa sama dan kesedaran tentang bahayanya najis dadah,” katanya.
Yeo berkata antara objektif program itu juga adalah seperti untuk membantu kadar obesiti dan berlebihan berat badan di daerah ini dapat diturunkan, menurunkan morbiditi dan mortaliti yang dikaitkan dengan kurang melakukan aktiviti fizikal atau bersenam.
Sementara itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Luyang, Datuk Chin Tek Ming dalam ucapannya meminta orang ramai untuk meneruskan aktiviti kesihatan.
Seorang peserta warga emas yang ditemui, Elizabeth Wong, 74, berkata, “ Ini merupakan satu aktiviti yang sangat baik dan saya telah mula aktif menyertai program seumpama ini semenjak setahun lebih yang lepas.
“Ia bukan sahaja untuk kesihatan, malah, ia juga dapat merapatkan silaturahim antara masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya.
No comments: