Arrow

Juruterbang, pembantu patut disiasat sejak hari pertama, kata anggota Kongres Amerika

Posted by Admin ~ on Sunday, 16 March 2014 ~ 0 comments

Juruterbang dan pembantu juruterbang penerbangan Malaysia Airlines MH370 seharusnya menjadi tumpuan siasatan sejak hari pertama, kata anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada parti Republikan, Peter T King kepada ABC News.

Menurut King yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri bagi Kongres AS, beliau kecewa dengan cara kerajaan Malaysia menguruskan misi mencari dan menyelamat pesawat membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang pada 8 Mac semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

“Faktanya, FBI tidak dijemput untuk membantu. Dan anda tahu seharusnya juruterbang dan pembantu juruterbang menjadi tumpuan sejak dari mula,” kata King dalam rancangan “This Week” di ABC News awal pagi ini.

"Itu akan menjadi prosedur penyiasatan penguatkuasaan undang-undang biasa. FBI boleh dipanggil untuk membantu, Interpol boleh dipanggil, agensi-agensi perisikan kita,” katanya.

Bagaimanapun setakat ini, katanya, masih belum ada indikasi yang menunjukkan kehilangan pesawat MH370 itu berkaitan dengan aktiviti terrorisme.

“Setakat ini masih belum ada indikasi ia merupakan terrorisme. Tidak bermakna ia tidak akan tetapi setakat ini masih belum ada petanda dijumpai komuniti perisikan sejak hari pertama,” kata King yang mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Pencegahan Keganasan dan Perisikan bagi Kongres AS kepada ABC News.

King berkata, beliau difahamkan pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan kerjasama yang baik dan keberatan untuk berkongsi maklumat dengan negara-negara yang membantu misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines itu.

King turut menyatakan keraguan bagaimana dua warga Iran yang menaiki pesawat tersebut dengan pasport curi tidak disyaki dan dilepaskan daripada pemeriksaan keselamatan dengan cepat.

“Maksud saya bagaimana mereka dapat menaiki pesawat tersebut untuk mencari suaka? Faktanya, mudah bagi mereka untuk menaiki pesawat dengan pasport curi,” katanya kepada ABC News.

Dua lelaki Iran yang dikenal pasti sebagai Pouri Nourmohammadi, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, dikatakan menggunakan pasport curi dan menaiki pesawat MH370 untuk ke Eropah.

Pouri menggunakan pasport Austria untuk ke Jerman bagi bertemu ibunya manakala Delavar Seyed pula menggunakan pasport Itali yang dilapor dicuri, manakala tiket penerbangan mereka dibeli dari sebuah agensi pelancongan di Thailand.

Kedua-dua lelaki itu meninggalkan Iran pada 22 Februari menggunakan pasport negara itu.

Duta Iran ke Malaysia, Mohammad Jalal Firouznia mengesahkan kedua-dua lelaki itu memperoleh visa daripada Kedutaan Malaysia di Tehran dan mereka tiba ke negara ini menerusi penerbangan dari Doha, Qatar.

Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengesahkan juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya Fariq Abdul Hamid tidak meminta untuk penerbangan bersama ke Beijing.

Beliau yang juga menteri pertahanan bagaimanapun berkata, polis menggeledah rumah juruterbang yang mempunyai simulator penerbangan dan rumah pembantu juruterbang itu pada Sabtu.

Hishammuddin berkata, Malaysia sentiasa berkerjasama dengan agensi penguatkuasa antarabangsa sejak hari pertama sekali gus menafikan laporan media antarabangsa yang mengatakan kerajaan menolak bantuan polis antarabangsa Interpol untuk mengesan lokasi pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu.

Semalam, ABC News melaporkan Malaysia berkali-kali menolak bantuan Interpol untuk mencari pesawat MH370.

Bercakap kepada ABC News di AS, seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan itu menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat dan menolak tawaran Interpol untuk membantu.

"Ini merupakan taktik lama sebelum tragedi 9/11: Sembunyikan maklumat, jangan kongsi dengan sesiapa," kata pegawai tersebut seperti dilaporkan ABC News di laman sesawangnya merujuk kepada tragedi 11 September 2001 satu ketika dahulu. – 17 Mac, 2014.

Sumber

Kongsikan :

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Followers