LABUAN; Seorang wanita tempatan ditemui mati dipercayai menggantung diri di dalam bilik rumahnya, di Perumahan KPD, Kampung Merinding dekat sini malam kelmarin.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Adzhar Othman berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.25 malam.
“Polis yang tiba di tempat kejadian menemui mangsa terbaring di bilik rumahnya tanpa sedarkan diri yang dipercayai telah pun meninggal dunia.
Hasil siasatan polis, mangsa yang dikenali sebagai Suhana Jamian, 31, berketurunan Brunei dipercayai menggantung diri menggunakan tali buaian anaknya yang terdapat dalam bilik rumah berkenaan.
Ketika kejadian mangsa hanya tinggal bersama dua anaknya yang berumur 8 tahun dan 4 tahun, manakala suaminya tidak berada di rumah.
Adzhar berkata berdasarkan maklumat yang diberikan oleh anaknya yang berusia 8 tahun itu, sebelum kejadian ibunya telah mengarahkan mereka berdua supaya menonton tv di ruang tamu.
Bagaimanapun selang beberapa minit kemudian anak mangsa masuk semula ke dalam bilik dan mendapati ibu mereka tergantung bersama tali buaian bayi.
Adzhar berkata, melihat keadaan ibu mereka tergantung anaknya itu cuba menggunting tali berkenaan dan selepas itu pergi ke rumah jirannya untuk memberitahu keadaan ibu mereka.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - NST
No comments: