KELINCAHAN bintang kelahiran Akademi Fantasia musim keenam ini (AF6) tatkala beraksi di pentas memang dilihat menjadi kekuatan utama Stracie Angie Anam atau mesra dipanggil Stacy ini berbanding rakan-rakan artis seangkatan dengannya.
Bukan semua penyanyi dianugerahkan bakat menari dan menyanyi pada masa yang sama, namun juara AF6 ini cukup bertuah kerana dikurniakan kebolehan seperti itu dan menjadi 'aset' untuk dirinya terus bertahan di persada seni ini.
Berilah apa saja gelaran buatnya; Agnes Monica Malaysia atau Britney Spears Malaysia - apa yang penting, Stacy berjaya memperkenalkan identitinya tersendiri yang bersandarkan kepada kekuatan vokal dan kehebatan gerak tari setiap kali dia melakukan persembahan.
|
Stacy menghargai pujian ramai yang merasakan dirinya semakin hebat di persada hiburan tanahair |
Bagi tuan empunya diri, 'kelebihan' yang dimiliki itu tidak pernah membuatkannya mendabik dada. Malah, penyanyi berusia 18 tahun ini akui, apa yang dilaluinya adalah satu cabaran juga kerana perlu sentiasa mencari idea-idea baru agar persembahannya di pentas mempunyai kelainan.
"Saya tidak nafikan, ramai yang merasakan kekuatan saya adalah pada persembahan pentas. Saya lega sebenarnya kerana cepat jumpa 'kelebihan' diri dan identiti sendiri.
"At least, bila orang bercakap tentang Stacy, mereka boleh ingat tentang gaya persembahan saya. Tetapi saya tidak menafikan bukan mudah untuk sentiasa pastikan peminat atau penonton suka pada persembahan saya.
"Lagipun, menari dan menyanyi pada masa yang sama memerlukan stamina yang tinggi. Saya memang terpaksa meletakkan tumpuan yang tinggi untuk tingkatkan stamina dengan mempelbanyakkan latihan.
"Gaya persembahan juga perlu ada kelainan...kalau asyik menari gaya yang sama saja, peminat akan rasa bosan pula. Sebab itulah saya sendiri terpaksa berbincang dengan penari-penari untuk cari idea.
"Sebagai contoh sewaktu persembahan saya di konsert akhir Akademi Fantasia musim ketujuh baru-baru ini, saya menyelitkan elemen tarian 'tecktonik' dan 'shuffle' yang sedang menjadi trend ketika ini," kata Stacy .
Ujar gadis kelahiran Sabah ini, dia sememangnya cukup teliti bila menyentuh tentang aspek persembahan dan seboleh mungkin akan memastikan apa yang bakal dipersembahkannya itu dapat menghiburkan penonton.
"Saya amat suka buat persembahan. Sebab itu saya jarang fikir sama ada saya popular atau tidak kerana apa yang penting bagi saya, adakah orang masih ingin melihat saya beraksi di pentas.
"Tetapi saya bersyukur kerana sewaktu saya adakan 'mini tour' di enam buah lokasi di Sabah pada awal tahun ini, sambutannya memang hebat. Teringin juga ingin adakan show yang sama di Kuala Lumpur, tetapi itu semua terpulanglah pada pihak pengurusan.
"Jika ada peluang, memang saya akan buat 'all-out'," tutur Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2008 ini.
Lantaran itu, kata Stacy, pada masa hadapan, dia akan tetap mengetengahkan muzik 'pop dance' seperti yang ditampilkan di dalam album sulungnya, Aku Stacy, kerana merasakan genre tersebut amat dekat dengan jiwanya.
"Konsep 'pop dance' memang kena dengan jiwa saya. Sudah tentu saya juga ada impian untuk menjadi artis yang 'versatile'...mungkin untuk album-album akan datang, saya akan selitkan juga genre balada dan muzik yang tidak begitu rancak.
"Tetapi tetap saya akan kekalkan 'trademark' saya dengan genre 'pop dance'," kata Stacy yang akan merakamkan single terbaru tidak lama lagi.
Album sulungnya yang telah dilancarkan oleh Tan Sri Bernard Dompok di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Mac lalu dikatakan mendapat sambutan yang baik. Album tersebut memuatkan tujuh buah lagu yang mana lima daripadanya adalah lagu baru.
Dua buah lagu lagi ialah Aku Stacy versi 'live' dan Cinta Khayalan, sebuah lagu yang pernah dinyanyikan oleh Stacy pada konsert AF6 dulu.
Antara komposer yang terlibat di dalam album ini ialah Audi Mok, Kieran Kuek dan Edry KRU.
Ditanya tentang perancangannya selepas ini, kata Stacy, buat masa ini, syarikat pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) banyak membantu menguruskan jadual seninya, setelah Maestro ditutup.
"Berada di bawah pengurusan AESB cukup berbeza. Mereka selalu adakan mesyuarat, jadi saya tahu apa perancangan mereka terhadap karier saya," tutur Stacy yang menambah dia turut menyimpan hasrat untuk menceburi bidang lakonan jika berkesempatan kelak.
No comments: