Arrow

SPR mansuh bantahan penamaan calon

Posted by Admin ~ on Wednesday, 20 March 2013 ~ 0 comments

Wan Ahmad (kanan) bersama Pengurus Pilihan Raya Kawasan Rompin, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha (kiri) meninjau pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Rompin.

ROMPIN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses bantahan pada hari penamaan calon dan tempoh penarikan balik pencalonan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pemansuhan itu sekali gus dapat menjimatkan masa proses penamaan calon di seluruh negara yang dijangka selesai selewat-lewatnya jam 11 pagi.

Menurutnya, SPR akan mengemas kini data semua senarai calon yang bertanding di dalam laman portal PRU13 dari masa ke semasa sebaik saja menerima senarai penamaan calon daripada pengurus pilihan raya setiap kawasan.

“Sudah tidak ada lagi penyokong yang tunggu di luar pusat penamaan calon sehingga jam 12 tengah hari kerana peruntukan undang-undang itu telah dimansuhkan kerana mulai PRU13 sudah tak ada lagi bantahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media selepas mengadakan Sesi Pertemuan bersama Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin dan Lawatan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Daerah Rompin.

Wan Ahmad berkata, proses penyerahan kertas penamaan calon akan dibuka selama sejam bermula 9 pagi.

“Kalau seorang calon membawa kertas penamaan calon pada jam 9.58 pagi iaitu dua minit lagi sebelum jam 10 pagi, kertas penamaan calon itu boleh diterima dan pengurus pilihan raya akan mencatat jam berapakah calon itu tiba di pusat penamaan calon.

“Penolong pengurus pilihan raya akan membantu pengurus pilihan raya membuat semakan  dalam  tempoh sama ada 15 minit ke 20 minit kerana itu hak dia disebabkan calon datang lewat,” katanya.

Beliau berkata, segala maklumat berhubung senarai calon bertanding boleh dilayari menerusi laman portal SPR. - SH

Kongsikan :

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Followers