Pengeluar kereta terkenal dunia, Ford dan agensi iklan WPP memohon maaf secara terbuka semalam berhubung karya seni mereka yang menggambarkan tiga wanita diikat di tempat letak barang belakang model Figo, yang boleh didapati di India.
Menurut jurucakap WPP, Chris Preuss, gambaran lukisan kartun itu sebenarnya latihan kreatif oleh pasukan yang mengemukakan hasrat untuk menyertai pertandingan iklan.
Salah satu imej menggambarkan bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berluscooni dan seorang calon dalam kempen semasa memandu Ford Figo manakala tiga orang wanita diikat di belakang kereta itu.
Imej lain menggambarkan Paris Hilton memandu kereta berkenaan manakala tiga beradik Kardashian diikat di belakang.
“Kami amat kesal dengan perkara ini dan bersetuju dengan rakan agensi kami yang iklan ini tidak sepatutnya disiarkan,” kata Ford dalam satu kenyataan.
“Poster itu juga bertentangan dengan standard profesionalisme dan kesopanan dalam Ford dan agensi rakan kongsi kami,” katanya.
WPP juga tidak ketinggalan mengeluarkan kenyataan dan mengatakan mereka kesal dengan kewujudan poster berkenaan.
Ford telah melancarkan model Figo pada tahun 2009, yang dihasilkan di India dan dieksport ke negara-negara lain di Asia dan Afrika.
No comments: