STOCKHOLM - Hotel pokok untuk dihuni oleh orang ramai terdapat di sebuah kawasan hutan dekat bandar Harads, Sweden, lapor sebuah akhbar semalam.
Bilik-bilik hotel itu diletakkan pada ketinggian beberapa meter di celah-celah beberapa pokok dan diberi pelbagai nama seperti The Bird's Nest dan The Blue Cone.
Katil dan pelbagai kemudahan lain disediakan dalam kontena yang diubah suai menjadi bilik hotel termasuk tingkap kaca yang besar bagi membolehkan penghuni melihat pemandangan indah hutan.
"Idea hotel itu ialah untuk mencipta sesuatu yang selesa, hotel yang membolehkan orang ramai tinggal dengan harmoni bersama alam semula jadi di atas pokok," kata pencipta hotel tersebut, Kent Lindwall. Dia mencipta hotel itu bersama dengan isterinya, Britta Jonsson Lindvall pada tahun lalu.
"Setiap bilik direka supaya mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan kebanyakan bilik mempunyai dua katil, tempat duduk tetapi tiada televisyen," tambahnya.
Menurutnya, tangga kayu dan tali disediakan bagi membolehkan orang ramai menaiki hotel itu. Hotel itu dicat dengan bahan yang membolehkan burung melihatnya pada waktu malam bagi mengelak ia dilanggar. Kadar menginap untuk satu malam di hotel itu ialah AS$633.18 (RM1,937). - Agensi
No comments: