Arrow

Dua lelaki ditahan, surat Kesultanan Sulu dirampas

Posted by Admin ~ on Monday 8 April 2013 ~ 0 comments

LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam satu operasi di Tanjung Baru, Pulau Bumbum, Semporna awal pagi kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata suspek berumur lingkungan 50-an dan disahkan bukan warga tempatan.

Beliau berkata satu fail putih mengandungi dua surat kesultanan Sulu dan beberapa senjata berbahaya turut dirampas dalam operasi 6.30 pagi itu.

“Tangkapan dan rampasan itu boleh mengaitkan mereka terlibat dalam kegiatan pengganas ini,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Unit Media Ops Daulat di sini.

Menurut SMS itu, statistik terkini tangkapan di bawah Sosma adalah 135 dan jumlah pengganas yang ditembak mati seramai 70 orang.

Sementara itu di Putrajaya, Kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus menerima reaksi positif, kali ini daripada pesara pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menyifatkannya sebagai satu pendekatan yang amat sesuai.

Bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar, yang mewakili pesara pegawai tinggi PDRM, berkata masalah di pantai timur Sabah mungkin berpanjangan.

“Eloklah diberi satu perhatian yang khusus, dengan diberi keanggotaan yang lebih, sumber lebih, perhatian lebih dan arahan bersepadu,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Terdahulu, beliau bersama 300 pesara pegawai tinggi PDRM lain hadir pada majlis ramah mesra bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana.

Mengulas pertemuan itu, Hanif berkata ia sesuatu yang amat bagus kerana pesara dapat melahirkan hasrat, pandangan serta idea terutama dalam isu berhubung Lahad Datu.

“Kami juga bersedia dipanggil kerajaan, membantu dalam apa jua cara yang boleh untuk meneruskan perjuangan kami demi keselamatan dan kesejahteraan negara yang begitu lama telah kami pertahankan.

“Apa yang berlaku di Lahad Datu membuktikan pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan juga penjawat awam masih mempunyai kebolehan berganding bahu untuk mempertahan negara,” katanya.

Hanif berkata pendekatan yang diguna sejak 1952, iaitu pertahanan bersepadu penting untuk menentang ancaman luar kerana masing-masing mempunyai peranan, kepakaran dan sumber.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Sabah Tan Sri Jamil Johari turut berkongsi pendapat sama berhubung penubuhan ESSCOM.

“ESSCOM ditubuh berdasarkan konsep Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom) di Sarawak, mungkin terdapat perbezaan namun ia boleh diubah suai bagi menepati situasi laut terbuka dan jenis musuh yang kita hadapi, jadi secara peribadi, saya rasa ia sangat sesuai,” katanya.

Jamil juga berkata pihaknya dan semua pesara kanan polis sedia memberi idea serta pandangan, jika diperlukan.

Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan berkata ESSCOM merupakan satu badan yang akan mengkoordinasi semua aktiviti.

“Seperti di Sarawak ada RASCOM, tetapi di Sabah perlu diubah suai kerana musuh kita bukan sahaja dari luar, mungkin juga ada dari dalam, jadi kita kena ada perancangan lebih ketat dan teratur bagi mengelakkan perbezaan pendapat,” katanya. - New Sabah Times

Kongsikan :

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Followers