Arrow

Tawau daerah pertama di Sabah terima TR1M

Posted by Admin ~ on Monday 9 July 2012 ~ 0 comments

TAWAU 8 Julai - Daerah Tawau menjadi lokasi penyampaian baucar subsidi tayar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) yang pertama di Sabah apabila seramai 349 daripada 1,200 pemandu teksi diberikan bantuan itu semalam.

Setiap daripada mereka menerima baucar bernilai RM520 daripada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, manakala yang lain akan menerimanya dalam tempoh terdekat.

Syed Hamid ketika ditemui berkata, pemberian bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap nasib pemandu teksi di negara ini.

Katanya, seramai 67,000 pemandu teksi di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada bantuan yang bernilai kira-kira RM35 juta itu termasuklah 3,000 pemandu teksi yang berada di Sabah.

"Saya harap bantuan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan dihargai oleh kesemua penerima," katanya selepas majlis penyerahan baucar itu di kediaman Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, di sini semalam.

Sementara itu, Abdul Ghapur gembira kerana Tawau terpilih menjadi lokasi pertama penyerahan bantuan itu di Sabah dan yang ketiga di Malaysia, selepas Putrajaya dan Kota Tinggi, Johor.

"Para pemandu teksi di Tawau selama ini amat menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kita gembira kerana mereka terpilih sebagai antara penerima terawal bantuan itu.

"Saya mewakili kesemua pemandu teksi berikrar untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri yang mengilhamkan bantuan ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang pemandu teksi, Kasdi Hassan, 58, ketika ditemui berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang diterimanya.

Beliau yang sudah memandu teksi sejak 1980 menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat termasuklah golongan pemandu teksi sepertinya.

Seorang lagi pemandu teksi, Palile Matta, 70, menyatakan yang beliau terharu mendapat baucar bantuan itu kerana tidak menyangka kerajaan sudi menyediakan bantuan sedemikian untuk meringankan bebanan mereka.

"Terima kasih kerajaan kerana prihatin terhadap nasib kami sebagai pemandu teksi," katanya yang sudah menjadi pemandu teksi sejak lebih 30 tahun lalu.

Sumber | http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm

Kongsikan :

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Followers