Arrow

Menceroboh Tagal: Persatuan mahu pihak terbabit diambil tindakan

Posted by Admin ~ on Tuesday 3 July 2012 ~ 0 comments


KOTA BELUD: Tindakan sebuah syarikat pemborong yang bertindak mengorek batu dan pasir tanpa kebenaran di kawasan Tagal sepanjang Sungai Wariu, dekat sini milik Persatuan Bombon Natesa akhirnya terbongkar.

Sumber berita memberitahu, syarikat terbabit dari daerah itu bertindak mengorek sungai di kawasan Tagal (Bombon) berkenaan untuk mengambil batu dan pasir bagi tujuan mengaut keuntungan perniagaan tanpa mempedulikan pihak persatuan itu.

Atas keprihatinan dan rasa tanggungjawab mereka terhadap kecantikan sungai dan alam sekitar, pemimpin tertinggi persatuan itu bertekad mendedahkan tindakan tersebut kepada media, dengan harapan pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Mengetuai persatuan itu, menemui wartawan New Sabah Times kelmarin ialah Yang Dipertua Persatuan Bombon Natesa Kota Belud, Gamparis Limban.

Menurut Gamparis, tindakan pengorekan tersebut benar-benar mengundang kemarahan para penduduk dan telah pun diberi kata dua oleh masyarakat di situ namun amaran penduduk seolah-olah tidak diendahkan.

Katanya, setiap hujung minggu akan ada lori dan jentera pengorek yang datang di situ untuk mengambil batu dan pasir.

Menyedari hal itu, beberapa penduduk prihatin telah berkali-kali menghalang mereka berbuat demikian, namun tidak berkesan.

“Syarikat (dipercayai milik warga tempatan berbangsa Cina) ini tidak memiliki lesen mengambil batu khasnya di Sungai Wariu, dan mungkin boleh di kompaun oleh pihak berkaitan kerana mencuri batu,” jelas Gamparis.

Lebih mengecewakan, perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan didakwa dipermudahkan atas bantuan beberapa ‘dalang’ iaitu Ketua Kampung Kampung Nahaba, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nahaba dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) sendiri.

Gamparis menjelaskan, Natesa merupakan gabungan lima buah kampung (Nahaba, Tegudon, Telungan, Terintidon dan Sayap) yang telah mengadakan perbincangan sesama mereka dan menubuhkan Persatuan Bombon Natesa yang telah berdaftar dengan Pendaftar Persatuan (ROS) lebih kurang setahun lalu.

“Kami berpegang teguh kepada undang-undang persatuan dan sentiasa memahami tujuan sebenar penubuhan persatuan ini iaitu bagi membantu dan bekerjasama dengan kerajaan untuk menjaga dan melindungi alam sekitar agar sentiasa cantik.

“Ini termasuk memastikan tidak ada pihak lain yang merosakkan kawasan sungai tersebut dengan mengorek pasir atau batu di kawasan terbabit.

Namun katanya, sikap pemborong dan pihak yang membenarkan untuk mengaut keuntungan sewenang-wenangnya amat menyakitkan hati, apatah lagi melibatkan hidupan sungai yang dijaga oleh persatuan.

“Kita takut sungai ini akan terjejas jika pihak pemborong berkenaan tidak menghentikan kegiatan pengambilan batu dan pasir di kawasan sungai kedua terpanjang di daerah Kota Belud itu,” kata Gamparis.

Beliau memberitahu, masyarakat kampung yang kadang-kadang menggunakan sungai sebagai sumber air juga turut terjejas akibat perbuatan pemborong tersebut, malah ikan-ikan di kawasan Bombon itu juga turut terancam kerana minyak daripada jentera dan lori yang sedang melakukan kerja-kerja pengorekan itu.

Justeru, beliau mewakili persatuan itu memohon kepada jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Tanah Dan Ukur, Jabatan Pengairan Dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu berkenaan.


Sehubungan itu juga, pihaknya memohon agar pihak Mahkamah Anak Negeri (MAN) dapat memberi nasihat kepada Ketua Kampung dan WKAN berkenaan yang telah ‘mencabul’ adat seperti mana yang dilakukan mereka kerana membenarkan pihak pemborong berkenaan mengaut keuntungan.

“Kalau boleh, tiada unsur-unsur rasuah ataupun penyelewengan kuasa berlaku dalam kepimpinan kampung kerana jika mereka (yang sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan menghormati adat kampung warisan nenek moyang) melanggar adat ini, seperti ada sesuatu yang tidak kena,” tambah Gamparis lagi.

Kongsikan :

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Followers